Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dipantau guna KPI

PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat konsesi yang dilantik selaras dengan penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan dipantau secara berterusan menggunakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, DatukSeri Lajim Ukin, berkata KPI itu akan menggariskan dengan jelas peraturan yang perlu dipatuhi semasa menjalankan aktiviti kutipan sisa termasuk tiada lecek jatuh daripada lori dan sisa pepejal daripada tong-tong sampah diambil dengan teratur.

“Sekiranya pihak konsesi tidak patuh kepada KPI ini mereka akan didenda bergantung kepada jenis-jenis kesalahan yang boleh menjurus kepada penamatan konsesi jika kesalahan tersebut dibuat secara berterusan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tripartite antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Lajim berkata, melalui penswastaan itu juga terdapat perubahan terhadap cara kutipan di mana kutipan sisa pepejal yang boleh dikitar semula akan dilakukan sekali seminggu dan ahli masyarakat perlu mengasingkan sisa pepejal berkenaan bagi meningkatkan amalan 3R (reduce, reuse dan recycle).Beliau berkata, buat permulaan amalan sedia ada rakyat akan cuba diubah secara sukarela dengan menyediakan infrastuktur berkaitan namun selepas dua tahun ia akan dilaksana secara mandatori di mana mereka yang tidak menjalankan pengasingan akan dikenakan penalti. 

“Amalan 3R masih rendah di kalangan rakyat negara ini, sekiranya kadar kitar semula di negara-negara maju berada pada tahap 50-60 peratus, kita masih berada pada lima peratus.”Diharapkan dengan pelbagai kempen dan rancangan yang diatur selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kadar kitar semula akan meningkat dengan positif,” katanya. 

Lajim berkata, dengan penguatkuasaan akta itu juga, beliau yakin pelbagai perubahan akan dilakukan termasuk pendekatan baru menggunakan teknologi terkini dalam melupuskan sisa pepejal dan menjanakan tenaga elektrik melalui pemprosesan sisa pepejal, berbanding kini di mana kita bergantung penuh kepada tapak-tapak pelupusan untuk melupuskan sisa-sisa terbabit. 
Mengenai perjanjian yang melibatkan enam kerajaan negeri, 50 pihak berkuasa tempatan dan dua Wilayah Persekutuan itu, Lajim berkata, ia adalah susulan daripada keputusan kerajaan untuk menguat kuasa Akta 672 dan melaksanakan penswastaan pengurusan sisa pepejal isi rumah dan pembersihan awam mulai 1 September lalu di seluruh Semenanjung kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang, manakala bagi negeri Terengganu dan Kelantan ia akan mula dikuatkuasa mulai 2 Jan tahun depan. Beliau berkata, ia antara lain bertujuan untuk mewujudkan kaedah pembayaran bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh PBT kepada kerajaan persekutuan iaitu melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). 

“PPSPPA yang diamanahkan selaku penguat kuasa Akta 672 juga akan berada di setiap daerah dan negeri bukan sahaja untuk menguat kuasa akta itu, tetapi juga untuk memastikan syarikat konsesi yang dilantik iaitu SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd melakukan tugas mereka dengan cekap dan berkesan,” katanya. – BERNAMA

Share

Subscribe to our Newsletter!

Sign up to receive environmental news and updates!

    dev